\’Tolong jaga wanita yang saya sayangi’

peluk pengantin

Agus memeluk pengantin lelaki. – TikTok

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang jejaka memeluk erat pengantin lelaki yang mengahwini bekas teman wanitanya, lapor portal berita Wolipop kelmarin.

Kejadian berlaku di  Pandeglang, wilayah Banten.

Dalam video yang dimuat naik di platform TikTok, lelaki dikenali sebagai Agus Bahrian, 23, dilihat mengucapkan selamat pengantin baharu kepada pasangan mempelai di pelamin.

Dia kemudian memeluk pengantin lelaki dengan erat sambil disaksikan pengantin perempuan yang berdiam diri dan kelihatan sugul.

“Detik yang saya tidak mahu saksikan. Namun akhirnya, kita hanya manusia lemah yang hanya mampu mengikhlaskan semua yang terjadi.

“Terima kasih wanita baik dan hebat. Saya bahagia dapat mengenali awak dan ketawa bersama awak. Semoga sentiasa bahagia,” kata keterangan video tersebut.

Ketika dihubungi Wolipop, Agus berkata, wanita tersebut merupakan bekas teman wanitanya yang berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.

Ujarnya, hubungan mereka berakhir pada 2024 selepas bercinta sejak 2019.

“Saya memeluk pengantin lelaki dan berbisik di telinganya dengan meninggalkan pesan. Saya minta agar dia tolong menjaga wanita yang saya sayangi kerana saya tidak mampu memilikinya,” kata Agus.

Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.

“Pengantin lelaki juga kelihatan baik, pengantin perempuan kelihatan sedih. Tidak mengapa, ada ramai lagi wanita yang baik di luar sana,” kata seorang netizen. – AGENSI