TOKYO – Perdana Menteri Fumio Kishida hari ini menuntut penjelasan Beijing berhubung serangan pisau yang meragut nyawa seorang murid sekolah Jepun di Shenzhen dan menggesa China memastikan keselamatan semua rakyat Jepun di negara itu.
Beijing membalas dengan mengucapkan takziah dan menyebut pembunuhan itu sebagai insiden terpencil yang ‘boleh berlaku di mana-mana negara’.
Walaupun motif penyerang tidak jelas, pegawai-pegawai Jepun menggesa supaya kawalan keselamatan di sekitar sekolah-sekolah Jepun di China diperketatkan.
“Buat masa ini, kami mendesak China untuk memberi penjelasan mengenai fakta kes. Memandangkan sudah lebih sehari sejak kejadian ini, kami menjangkakan mereka (Beijing) memberikan penjelasan secepat mungkin,” kata Kishida yang menganggap serangan itu ‘amat keji’.
“Kes seperti ini tidak boleh berulang. Kami akan menyeru China untuk memastikan keselamatan warga Jepun dan mencegah kejadian serupa daripada berulang,” tambahnya.
Polis Shenzhen berkata, seorang lelaki telah menyerang kanak-kanak bawah umur pagi semalam dengan mangsa dikejarkan ke hospital. Suspek yang berusia 44 tahun itu turut ditahan, kata polis.
Media Jepun melaporkan, mangsa ialah warganegara Jepun berumur 10 tahun yang tinggal di bandar Shenzhen, selatan China dan diserang berhampiran sekolah Jepun.
Beijing hari ini menyatakan rasa kesal dan sedih berhubung insiden malang itu.
Lewat semalam, sebelum budak lelaki itu meninggal dunia, Timbalan Menteri Luar Jepun, Masataka Okano memanggil Duta Besar China ke Jepun, Wu Jianghao untuk menyampaikan ‘kebimbangan serius’ mengenai serangan itu.
Pada Jun lepas, seorang ibu dan anak warga Jepun cedera dalam satu lagi serangan pisau di Suzhou dekat Shanghai. Kementerian Luar China pada masa itu menyifatkan kejadian juga sebagai ‘insiden terpencil’.
Seorang wanita China berusia 55 tahun meninggal dunia ketika cuba menghalang penyerang dan diberi penghormatan kerana tindakannya oleh kerajaan tempatan.
Masih tidak jelas sama ada insiden terbaru tersebut bermotifkan politik. – AFP