JAKARTA – Sebanyak 13 buah rumah mengalami pelbagai kerosakan akibat terbakar gara-gara perbuatan seorang kanak-kanak yang terpengaruh dengan aksi ditonton daripada filem, lapor saluran berita Liputan6 semalam.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan kediaman di Sukabumi, wilayah Jawa Barat, Jumaat lalu.
Menurut ketua masyarakat setempat, Ajis Muslim, kebakaran bermula di sebuah tempat pembakaran sampah sebelum merebak ke rumah-rumah penduduk.
“Penduduk pada awalnya tidak menyedari bahawa kebakaran kecil sudah tercetus. Namun, selepas solat isyak, penduduk melihat ada rumah yang mula terbakar di sudut-sudut tertentu,” katanya.
Tambah Ajis, kebakaran yang pada awalnya hanya kecil akhirnya berlanjutan sehingga waktu subuh keesokan harinya sehingga menyebabkan 13 rumah terjejas.
“Penduduk tidak mengetahui pelaku yang mencetuskan kebekaran dan polis tidak menemukan sebarang bukti seperti minyak petrol,” katanya.
Namun, selepas disiasat, polis akhirnya menahan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang disyaki memulakan kebakaran itu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kota Sukabumi, Asisten Komisioner Tatang Mulyana berkata, kanak-kanak itu ditahan pada awal pagi Sabtu lalu.
“Dia ditangkap ketika cuba memulakan kebakaran baharu di rumah penduduk lalu dibawa ke balai polis.
“Kanak-kanak itu mengaku dia bertindak demikian kerana obses dengan babak daripada filem yang sering ditonton di rumah,” jelasnya.
Tambah Tatang, kanak-kanak itu dibebaskan dan hasil rundingan penduduk, ibu bapanya berjanji akan membayar ganti rugi kepada semua mangsa terjejas. – AGENSI