LONDON – Sebuah lubang benam di England menjadi sensasi internet selepas memperoleh penarafan lima bintang di platform pemetaan Google Maps, lapor akhbar Metro UK semalam.
Lubang benam itu dinamakan The Hole dalam Google Maps selepas menjadi tempat tarikan pelancong baharu.
Ia muncul di Jalan A646 Halifax selepas paip bawah tanah dilaporkan runtuh pada Disember tahun lalu.
Kerosakan itu menyebabkan sebahagian jalan ditutup selama berminggu-minggu dengan kesesakan lalu lintas berterusan dan mengganggu penduduk sekitar.
Seorang pelancong dikenali sebagai Matt Paling berkata: “Ini adalah lubang benam terbaik dan layak menerima penarafan lima bintang. Ia hebat tetapi memerlukan kedai kopi di kawasan sekitarnya.”
Seorang pengguna media sosial lain berkata: “Saya membawa anak-anak saya dan mereka sangat menyukainya! Kami akan datang lagi!” – AGENSI