Terbuka China: Soon Huat-Shevon ke separuh akhir

BADMINTON 3

SOON Huat dan Shevon Lai yang berada di ranking ke-12 dunia berjaya melakar kejutan menyingkirkan pasangan pilihan dari China itu.

BEREGU campuran professional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memperagakan persembahan cemerlang pada kejohanan berstatus Super 1000 di Terbuka China apabila melangkah ke separuh akhir selepas menumbangkan pasangan ranking No. 2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang- Wei Ya Xin semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou, pasangan negara membuktikan usaha kerja keras mereka benar-benar berbaloi apabila berjaya bangkit mengatasi pemain tuan rumah itu menerusi kemenangan straight-set 23-21, 21-16 dalam tempoh 34 minit.

Bagi Shevon, kemenangan tersebut adalah satu kepuasan kerana pada perlawanan tersebut dia turun dengan perasaan bercampur baur berikutan tidak pernah menewaskan lawan tuan rumah tersebut dalam lima pertemuan sebelum ini.

“Pada perlawanan sebentar tadi, saya memberitahu diri sendiri bahawa saya perlu mengatasi ketakutan kerana belum pernah mengalahkan mereka. Ia seolah-olah permainan psikologi bagi saya dan perlu mengatasi ketakutan itu.

“Saya rasa hari ini kami berdua melakukannya dengan sangat baik. Namun, saya fikir keadaan di gelanggang memberikan kami beberapa manfaat kerana angin agak kuat. Jadi, saya rasa itu memberi kami sedikit kelebihan untuk mengawal perlawanan,” kata Shevon kepada BWF semalam.

Dalam pada itu, Soon Huat turut berpendapat kebangkitan mereka pada set pertama memberi keyakinan untuk mengatasi lawannya itu.

“Permainan set pertama sangat sengit kerana lawan mendahului kami 19-16, jadi dari situ, kami terus berusaha kejar mata demi mata. Kebangkitan tersebut memberi kami lebih banyak keyakinan untuk bermain dan juga pada perlawanan kedua,” ujar Soon Huat.

Hasil kemenangan tersebut, Soon Huat-Lai Shevon akan berdepan pasangan ranking No. 22 dunia dari China, Cheng Xing- Zhang Chi selepas mereka berjaya mengatasi gandingan Korea Selatan,Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito 21-15, 21-19 dalam tempoh 42 minit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *