JAKARTA – Seorang kanak-kanak perempuan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai selepas berhias seperti pengantin pada majlis sambutan hari lahirnya yang kelima, lapor saluran berita Wolipop semalam.
Kanak-kanak perempuan itu dikenali sebagai Afifah Putri Hidayah dan berasal dari Madura.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @chiichiixmakeup, dia dilihat memakai inai putih di tangan selain dihiasi aksesori dari kepala hingga ke badannya.
Malah, rakan-rakan Afifah turut menerima solekan dan pakaian yang serupa.
Majlis hari jadi bertemakan filem Barbie itu diadakan secara besar-besaran.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan mendapat lebih 428,300 tontonan bersama 6,960 tanda suka.
“Tema majlis itu Barbie, tetapi pakaiannya seperti pengantin,” kata netizen.
“Orang di Madura memang kaya. Itu baru majlis ulang tahun, belum lagi majlis perkahwinan,” kata netizen lain. – AGENSI