Taufan Shanshan hentam Jepun, 6 maut

SHAN

POKOK tumbang ditiup angin kencang semasa Taufan Shanshan membadai Usa di wilayah Oita semalam. – AFP

TOKYO – Taufan Shanshan membawa paling banyak hujan semasa perlahan-lahan melintasi Jepun hari ini sambil mencetuskan malapetaka pengangkutan dan amaran meluas bencana  tanah runtuh dengan enam orang terkorban.

Taufan antara  paling ganas pernah melanda Jepun sejak beberapa dekad lalu itu semakin lemah dan kekuatannya diramal  bertukar kepada siklon tropika menjelang Isnin ini walaupun kelajuan angin ribut masih mencecah 126 kilometer sejam awal hari ini.

Menjelang ketibaannya di Pulau Kyushu, bencana tanah runtuh disebabkan hujan lebat mengakibatkan tiga sekeluarga terkorban lewat Selasa lepas di wilayah Aichi, kira-kira 1,000 kilometer jauhnya.

Jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi mengesahkan empat kematian tetapi berkata, dalam satu kes, kaitannya dengan Shanshan sedang dikaji.

“Dua lagi mangsa dikhuatiri maut dan dua lagi hilang,”  kata Hayashi.

Menurutnya, lapan orang  parah dan 70 yang lain cedera ringan, dengan ramai lagi cedera akibat terkena serpihan kaca selepas taufan itu memecahkan tingkap dan merobek jubin bumbung apabila ia merempuh Kyushu semalam dengan tiupan selaju 252 kilometer sejam.

Hampir 200 bangunan juga telah rosak.

Terdahulu, pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran tertinggi kepada penduduk di beberapa kawasan berisiko  dengan lebih lima juta orang dinasihatkan berpindah, namun  tidak jelas bilangan mereka yang berbuat demikian.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran risiko tanah runtuh di banyak bahagian Pulau Kyushu dan hingga ke Shizuoka di pulau utama,  Honshu di samping  wilayah Tokyo serta  Kanagawa.

Rakaman badan penyiaran NHK menunjukkan banyak kenderaan separa tenggelam di tempat letak kereta di wilayah Kanagawa. Pihak berkuasa di sana  menggesa penduduk berpindah ke tingkat lebih tinggi selepas air sungai tempatan melimpah.

Beberapa bahagian di Kyushu mencatatkan rekod hujan pada bulan ini dengan bandar Misato merekodkan taburan hujan 791.5 milimeter dalam masa cuma 48 jam, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan tempatan, Japan Airlines dan ANA mengumumkan pembatalan lebih 600 penerbangan hari ini setelah membatalkan jumlah penerbangan yang sama hari sebelumnya, mengakibatkan hampir 50,000 penumpang terjejas. – AFP .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *