JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan solat tarawih 20 rakaat dilakukan dalam masa cuma 10 minit, lapor laman berita Jatim Times semalam.
Kejadian berlaku di Sekolah Pondok Mambaul Hikam, Kota Blitar, wilayah Jawa Timur.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, jemaah dilihat mengikuti imam menunaikan solat tarawih termasuk witir tiga rakaat yang berlangsung tidak sampai 10 minit.
Jemaah dilihat berdiri di saf sambil melakukan gerakan-gerakan dalam solat dengan amat pantas.
Penyelia Pondok Pesantren Mambaul Hikam, KH Dliya’uddin Azzamzami Zubaidi berkata, solat tarawih kilat itu sudah menjadi tradisi sekolah pondok tersebut sejak lebih seabad lalu.
“Dahulu, ramai orang bekerja dari pagi sampai petang. Ketika malam, mereka tidak larat untuk menunaikan solat tarawih dengan rakaat lama.
“Akhirnya, pengasas dahulu mencari penyelesaian dengan melakukan solat tarawih dengan cepat,” katanya.
Tambah Dliya’uddin, solat tarawih kilat itu tidak melanggar peraturan solat.
“Kami membaca surah Al Fatihah dengan lengkap, membaca surah-surah dan ada tamakninah,” ujarnya.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Sesuatu yang sudah dibiasakan akan menjadi terbiasa dan dianggap betul dengan alasan ‘tradisi’,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI