Tangkapan pengasuh Harraz bergantung hasil bedah siasat

WhatsApp Image 2024 12 10 at 10.22.16 AM

Ibu Harraz, Ainol Izzah Raslan, 25, menunjukkan gambar kenangan bersama ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

MELAKA – Laporan bedah siasat bayi berusia enam bulan, Harraz Noah Nazrul Nizam, yang maut selepas dihantar ke rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin semalam masih belum lengkap.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, laporan tersebut masih berada di peringkat makmal bagi mengesahkan punca kematian.

“Kini laporan bedah siasat berada di peringkat makmal Jabatan Forensik Hospital Melaka.

“Kita masih menunggu laporan tersebut bagi mengesahkan punca kematiannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, setakat ini tiada penahanan dilakukan ke atas pengasuh berusia 27 tahun berkenaan susulan pemeriksaan awal dilakukan pihak polis pada tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah.

“Kita masih tunggu laporan lengkap bedah siasat dan sebarang tindakan lanjut termasuk penahanan akan dibuat berdasarkan dapatan laporan tersebut,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan dilaporkan meninggal dunia selepas dihantar ke rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin.

Mangsa, Harraz Noah Nazrul Nizam dikatakan ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 11.40 pagi dalam keadaan mukanya tertutup dengan selimut di atas tilam selepas ditidurkan.

Bayi itu kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Merlimau.