Tanah Merah banjir lagi

c495b914 e1f3 4531 ad8e 9417ee7566d9

Air Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah melimpah ke kawasan jalan susulan hujan lebat melanda daerah tersebut semalam. FOTO MEDIA SOSIAL

TANAH MERAH – Seramai 62 penduduk yang terdiri daripada 17 buah keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini apabila kawasan rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat semalam.

Sekreteriat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim, SK Gual Jedok dan balai raya Padang Kijang di sini.

Menurutnya, setakat ini, hanya penduduk di daerah Tanah Merah yang terjejas banjir.

“Keadaan cuaca semasa pada pukul 8 pagi tadi di tujuh daerah termasuk Tanah Merah dilaporkan baik dan mendung. Hanya daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang sahaja hujan,” katanya.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras bahaya dengan bacaan 10.39 meter dan tiada kenaikan air setakat pukul 8.45 pagi tadi.

Menurutnya, selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Sungai Semerak, Pasir Puteh berada pada paras waspada. – https://amiminerals.org/