PETALING JAYA – Mengakui sudah menakluk hati Mimi Lana, pelakon Syafiq Kyle memberitahu dia hanya menanti masa yang sesuai untuk meneruskan hubungan mereka.
Kata Syafiq atau nama lengkapnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, dalam nada bergurau, dia menunggu pengesahan daripada Mimi tentang perkara itu.
“Takluk itu sudah, tunggu masa yang sesuai nak diizinkan,” katanya.
Syafiq memberi reaksi tersebut dalam sebuah video dalam Instagram ketika menjadi artis jemputan di stesen radio Era FM.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan hasrat untuk melihat pasangan pelakon popular itu disatukan.
“Alhamdulillah masih ada harapan untuk mereka bersama. Semoga ada jodoh antara mereka dan diharapkan jodoh kedua-duanya berkekalan.
“Semoga hasrat mereka tercapai dan dipermudahkan urusan.
“Kalau tengok muka berseri-seri macam ini, selalunya memang dah menjadi,” antara komen peminat.
Sebelum ini Syafiq dan Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 28, pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023, namun majlis perkahwinan itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan boleh bekerjasama dalam satu naskhah. – Iteenews