Tak tahan kena bebel suruh bekerja, suami bakar isteri

Geli bakar82

GAMBAR fail Kota Sorong. – Foto ANTARA

JAKARTA – Seorang lelaki di Bandar Sorong, wilayah Papua Barat disyaki membakar isterinya selepas mangsa meminta dia pergi bekerja, dan bukannya bermain permainan video, lapor portal berita Detik kelmarin.

Menurut seorang pegawai polis tempatan, Nelfince Rumbino, mangsa dikenali sebagai HS, 31, meminta suaminya pergi bekerja sebagai penunggang teksi motosikal.

Nelfince berkata, suspek mengaku bahawa ketika kejadian, dia sedang bermain permainan video dan enggan menerima bebelan isterinya yang menyuruh dia keluar bekerja.

Tambahnya, mangsa dibakar setelah tubuhnya disiram dengan minyak tanah, menyebabkan dia mengalami lecuran sebanyak 40 peratus. 

Ketika ini, mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital.

“Kita sedang melakukan siasatan lebih lanjut,” kata Nelfince sambil menambah, suspek telah ditangkap. – AGENSI