JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan kelibat didakwa pocong melompat di tepi jalan pada waktu malam, lapor laman berita RMOL Jateng semalam.
Kejadian berlaku di Jalan KUA Lasem, Rembang, dalam wilayah Jawa Tengah.
Berdasarkan video yang dirakam oleh penumpang sebuah kereta dikenali sebagai Andi, susuk berbalut kain putih dilihat berada di tepi jalan.
Lembaga itu dirakam sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan), Isnin minggu lalu.
Disebabkan rasa ingin tahu, Andi dan rakannya berpatah balik ke arah pocong tersebut selepas berasa curiga melihat gerak badannya.
“Namun, setelah dihampiri, pocong itu berlari dengan laju sampaikan kainnya (kain putih) tersangkut. Wajahnya tidak kelihatan tetapi lariannya amat laju sampaikan hampir jatuh,” kata Andi.
Tambahnya, dia percaya bahawa pocong itu sebenarnya manusia yang menyamar untuk merompak atau menakut-nakutkan orang ramai.
“Lokasi jalan di KUA Lasem. Berhati-hati kepada yang mahu melalui jalan itu,” ujarnya.
Setelah video itu menjadi tular, Ketua Polis Lasem, Asisten Komisioner Polis Arif Kristiawan berkata, pihaknya sudah pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan serta mengumpul keterangan daripada beberapa saksi.
“Kami mahu memastikan adakah benar ia pocong atau sekadar gurauan pihak tertentu. Kami akan menyiasat lebih lanjut,” ujarnya. – AGENSI