BEIJING – Sebuah syarikat di China mengundang kritikan ramai selepas menghukum pekerja yang didakwa menghabiskan masa terlalu banyak di tandas, lapor portal berita Mint.
Menurut akhbar South China Morning Post, syarikat Lixun Diansheng yang beribu pejabat di wilayah Guangdong menyiarkan gambar beberapa pekerja menggunakan tandas.
Gambar-gambar itu dirakamkan selepas seorang pekerja ditangkap kerana merokok dan bermain permainan online di tandas.
Syarikat itu berkata, pekerja tersebut duduk di dalam tandas untuk satu tempoh yang lama dan mengabaikan bunyi ketukan di pintu apabila kakitangan lain cuba menangani situasi itu.
Sebagai tindak balas, kakitangan yang datang memeriksa itu memanjat tangga untuk merakam gambar pekerja di dalam tandas.
Ia kemudian dicetak dan dipaparkan secara terbuka sebagai amaran kepada pekerja lain.
Ramai pihak tampil mengkritik amalan syarikat itu dan menuduhnya melakukan pencerobohan privasi serta pelanggaran hak pekerja.
Namun, syarikat tersebut menekankan bahawa dasar itu telah dilaksanakan selama berbulan-bulan untuk mengurangkan perbuatan buruk pekerjanya tetapi hanya didedahkan di media sosial baru-baru ini. – AGENSI