JAKARTA – Seorang bekas pesalah kes pembunuhan sepasang kekasih bertindak melakukan ‘sumpah pocong’ di Desa Lurah, wilayah Jawa Barat untuk membuktikan dia tidak bersalah, lapor portal berita Sindonews Daerah semalam.
Saka Tatal membuat pengakuan itu selepas solat Jumaat setelah menerima tuduhan daripada pelbagai pihak bahawa dia melakukan perbuatan tersebut pada 2016.
“Alhamdulillah. Sudah lega.
“Jadi dari dulu banyak orang menyatakan Saka adalah pelakunya,” katanya seperti yang disiarkan saluran televisyen iNews.
Sumpah pocong dilakukan dalam keadaan tubuhnya dibalut dengan kain kafan seperti orang yang telah meninggal dunia dan merupakan tradisi masyarakat Indonesia.
Saka dibebaskan pada 2020 kerana berkelakuan baik setelah dihukum penjara selama lapan tahun oleh mahkamah kerana didapati terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Tujuh lelaki lain menerima hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah dalam kejadian pembunuhan Vina Dewi Arsita dan kekasihnya, Muhammad Rizky Rudiana di Cirebon.
Bagaimanapun, Saka pernah berkata bahawa dia silap disabitkan dalam kes tersebut.
Dia cuma berusia 15 tahun ketika polis menangkapnya dan dipaksa mengaku terlibat dalam pembunuhan Vina. – AGENSI