KUCHING – Jaguh taekwondo, Randy Owen Augistine Linggi muncul atlet terkaya kontinjen Sarawak setakat ini hasil pencapaiannya raih tiga pingat emas dan satu perak di Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam mengumumkan setiap atlet negeri itu akan diberikan insentif RM15,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi.
Bagaimanapun, Randy lebih selesa untuk memikirkan tentang misi utama iaitu mengharumkan nama Sarawak di pentas sukan negara ini.
“Saya bermula dalam sukan taekwondo di Sekolah Menengah Lundu pada usia 13 tahun. Pada masa sama, saya perlu berpindah ke Kuching untuk dapatkan latihan lebih sistematik.
“Pengalaman berlatih di atas konkrit di Lundu memberikan kesakitan dan mencederakan kaki atlet. Tapi sekarang latihan di Kuching memudahkan usaha saya,” katanya.
Randy sebelum ini mencipta sensasi apabila memenangi acara poomsae berpasukan lelaki, individu lelaki dan berpasukan gaya bebas manakala pingat perak diraih menerusi acara campuran bersama Seah Jing Ying.
Semalam, Abang Johari turut mengumumkan pemenang pingat perak akan menerima RM5,000 manakala gangsa (RM3,000). – Iteenews