IPOH – Keluarga lelaki yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu ketika keluar mencari kerja merayu agar Noor Azmi Abu Talib, 39, pulang semula ke pangkuan keluarga.
Menurut abangnya, Noor Syaifuan, 44, dia dan keluarga bimbang dengan keselamatan lelaki itu yang langsung tiada khabar berita setelah kali terakhir ditemui pada 19 Ogos lalu.
Katanya, ketika keluar dari rumah, Noor Azmi menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna merah milik jiran dengan nombor pendaftatan AJD 926.
“Bagaimanapun, selepas beberapa hari dia tidak balik ke rumah keluarga kami di Meru. Puas kami cuba menghubunginya namun tiada jawapan, malah nombor telefon kami pula sekarang ini disekat,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Noor Syaifuan, adiknya yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar makanan itu tidak pernah menceritakan masalah yang dihadapi kepadanya atau ahli keluarga lain.
“Jika dia ada masalah sekali pun, baliklah ke rumah dan kita selesaikan bersama. Dia masih ada keluarga dan waris yang akan membantunya.
“Kasihanlah pada emak, kesihatannya kini merosot kerana bimbang. Emak pun kini banyak termenung dan tidak ceria, kadang-kadang dia menangis mungkin teringatkan adik,”katanya.
Tambahnya, laporan polis mengenai kehilangan Noor Azmi telah dibuat pada 22 Ogos lalu di Balai Polis Tanjung Rambutan.
“Saya berharap jika ada orang awam yang menjumpainya, boleh lapor ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 018-9554075 dan 011-26407908,”katanya.