Suami rompak kedai emas buat belanja kahwin isteri kedua

rompak kahwin

Suspek ditangkap oleh polis selepas merompak kedai emas. – Tribunnews

JAKARTA – Polis menahan seorang lelaki yang merompak kedai emas secara solo bagi mendapatkan wang untuk berkahwin dengan kekasih gelapnya, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Suspek dikenali sebagai AYS, 37, nekad merompak premis di kawasan Pasar Kemukusan, Banyumas, wilayah Jawa Tengah pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Banyumas, Komisioner Ari Wibowo berkata, dalam kejadian sekitar pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan), suspek berpura-pura mahu membeli barangan kemas sebelum dia mengacukan pistol kepada pekerja.

“Setelah memilih beberapa kalung emas, suspek mengancam pekerja menggunakan pistol,”ujarnya.

Suspek kemudian membawa lari 26 barangan kemas yang bernilai kira-kira 153 juta rupiah (RM42,000).

“Dia kemudian melarikan diri menggunakan motosikal dan dikejar oleh sekumpulan penduduk, namun gagal,” kata Ari.

Suspek akhirnya ditangkap oleh polis pada Ahad lalu di rumahnya di Surabaya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas, Komisioner Andryansyah Rithas Hasibuan berkata, suspek bertindak demikian kerana mahu mengahwini teman wanitanya ketika isterinya bekerja di luar negara.

“Kenyataan awal pelaku adalah dia ingin membuat persiapan untuk mengahwini kekasihnya,” kata Andryansyah dalam sidang akhbar semalam. – AFP