Suami kaki pukul rempuh isteri, anak depan balai polis

suami kaki pukul

Rakaman CCTV menunjukkan detik sebelum mangsa dirempuh oleh suspek. – One 31

BANGKOK – Polis menahan seorang lelaki kerana merempuh isteri dan anaknya menggunakan trak pikap miliknya di luar sebuah balai polis di wilayah Nakhon Si Thammarat, lapor laman berita Thaiger.

Pinno Sisooksai, 27, ditahan di rumah keluarganya di Krabi kelmarin selepas melarikan diri sejak lebih dua minggu lalu.

Pada 20 November lalu, isteri suspek, Lek, yang ditemani anaknya dan ahli keluarga lain pergi ke Balai Polis Tung Yai untuk memfailkan aduan terhadap lelaki itu.

Lek, 26, mendakwa bahawa dia didera secara fizikal oleh suspek. Disebabkan bimbang akan keselamatan diri dan anaknya, mangsa pergi mendapatkan bantuan polis.

Ketika kejadian, suspek mengekori mangsa dengan memandu trak pikap. 

Sejurus mangsa keluar dari kereta dan mahu masuk ke dalam balai, suspek memandu dengan laju dan merempuh mereka.

Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan bersembunyi di rumah keluarganya di Krabi. 

Keadaan Lek dan ahli keluarganya tidak didedahkan, manakala suspek menghadapi pertuduhan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup, penjara 15 hingga 20 tahun atau hukuman mati. – AGENSI