Suami guna sijil cerai palsu demi kahwin lain

surat cerai palsu

MJ menggunakan sijil cerai palsu untuk menipu isterinya. – Istimewa

JAKARTA – Seorang lelaki di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur membayar sebanyak 15 juta rupiah (RM4,000) untuk mendapatkan sijil perakuan cerai palsu semata-mata untuk berkahwin lain, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.

Helah suspek yang dikenali sebagai MJ, 56, terbongkar apabila isterinya, SM, 47, membuat laporan polis.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Tulungagung, Inspektor Nanang Murdianto, MJ meminta bantuan seorang peguam bagi mendapatkan sijil cerai palsu tersebut.

“Dia disyaki memalsukan tandatangan ketua kampung untuk memproses sijil nikah,” kata Nanang.

Tambahnya, suspek bertindak demikian kerana mahu berkahwin lain tanpa pengetahuan isterinya.

“Bagaimanapun, muslihatnya akhirnya diketahui oleh SM,” kata Nanang.

Suspek ditahan dan berdepan hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan memalsukan sijil asli serta penjara enam tahun bagi kesalahan pemalsuan surat. – AGENSI