Siswa UM suntik motivasi 100 anak yatim empat negeri

Peserta guru dan sukarelawan bergambar kenangan di hadapan Dewan Tunku Canselor UMddd

SERAMAI 100 orang anak yatim dan 20 orang guru pengiring dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang terlibat dalam program OYEs berpeluang melawat kampus UM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SERAMAI 100 orang anak yatim dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah mengikuti sebuah program anjuran Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Yatim) baru-baru ini.

Program tersebut berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk di Universiti Malaya (UM).

Program yang diberi nama ‘Opening Young Eyes (OYEs) – Kembara Ilmu Rukun Negara’ itu turut disertai lebih 20 orang guru pengiring.

Pengarah Urusan Yatim, Salehhuddin Osman berkata, siri program OYEs merupakan program berbentuk lawatan sambil belajar yang diadakan sepanjang tahun, khusus untuk anak-anak yatim terpilih dari seluruh negara.

“Kali ini, pembaharuan yang dibawa adalah dengan menjajarkan objektif lawatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya kepada iGen.

Menurutnya, bagi prinsip Rukun Negara yang pertama, ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, para peserta telah dibawa melawat Masjid Negara.

Kemudian, prinsip kedua, ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’, mereka telah dibawa ke Istana Negara, termasuk melawat ke Balairong Seri, di mana istiadat-istiadat rasmi dilaksanakan.

“Bagi ‘Keluhuran Perlembagaan’, mereka telah di bawa ke parlimen, manakala untuk ‘Kedaulatan Undang-undang’ peserta berpeluang melawat Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemilihan UM sebagai lokasi bagi prinsip kelima, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dibuat bagi memenuhi objektif program secara serampang dua mata.

“Dari sudut lain, ia memberi peluang kepada anak-anak yatim ini menjejakkan kaki ke universiti terunggul negara.

“Ia diharap dapat membantu menyuntik motivasi mereka untuk mencipta kecemerlangan dalam pelajaran dan mencipta hala tuju dalam kehidupan.

“Disebabkan kekurangan dan kekangan yang dihadapi, ada antara mereka tidak mampu ‘melihat’ lebih jauh dari apa yang mereka lalui setiap hari,” katanya.

Azri berinteraksi dengan peserta program 2ddd
MUHAMMAD AZRI (kanan) berinteraksi dengan salah seorang peserta program.

Tambahnya, menjadi harapan agar lawatan ringkas itu mampu membuka mata mereka untuk melihat kemampuan diri, sekali gus pergi lebih jauh dan berjaya dalam hidup.

Sementara itu, ketua pemudah cara program yang juga mahasiswa tahun pertama jurusan undang-undang, Muhammad Azri Nor Azman menyifatkan objektif program telah tercapai dengan jelas dan teratur.

“Dengan kerjasama sukarelawan dari Kolej Kediaman Ibnu Sina UM, pasukan saya diberi tugasan untuk menerapkan kepentingan adab dan akhlak yang baik dalam proses menuntut ilmu.

“Meskipun masa yang diberi agak singkat, namun sudah cukup untuk kami melaksanakan beberapa modul aktiviti bersama para peserta yang kelihatan sungguh bersemangat,” katanya.

Salah seorang sukarelawan, Nur Liyana Nor Sham turut berkongsi rasa kagumnya dengan kegigihan para peserta yang berusaha mencipta masa depan lebih baik walaupun serba kekurangan.

“Di dalam salah satu modul aktiviti, kami meminta mereka menuliskan cita-cita. Salah seorang daripadanya menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang doktor haiwan pada suatu hari nanti.

Jawapannya mungkin kelihatan agak ringkas, namun telah membuatkan saya tersentuh dan turut menyuntik motivasi kepada saya untuk cemerlang dalam pelajaran,” katanya.