PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) akan melaksanakan penutupan secara berperingkat di laluan lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu bermula pukul 7 pagi pada esok hingga 26 Mei sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan laluan KLIA-Putrajaya di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), laluan Subang -Jalan Duta di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan laluan Sungai Buloh-Jalan Duta di Lebuh Raya Utara-Selain.
Selain itu pada 28 Mei pula, jangkaan masa penutupan secara berperingkat ialah bermula pukul 8 pagi membabitkan laluan laluan KLIA-Putrajaya di Lebuh Raya Elite, laluan Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya NKVE serta laluan Sungai Buloh-Jalan Duta di Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Pihak Plus akan bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi di lebuh raya kendalian Plus sepanjang tempoh tersebut.
“Dalam masa sama, pihak Plus akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik yang bertugas bagi memudahkan pergerakan delegasi di lokasi-lokasi yang melalui lebuh raya kendalian Plus,”menurut kenyataan itu hari ini.
Plus menasihatkan pengguna lebuh raya terutamanya yang menuju atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan TUDM Subang, supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Orang ramai disaran supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi.
Untuk makluman trafik terkini, boleh merujuk kemas kini melalui platform media sosial JSPT/PDRM, aplikasi Plus, X @PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih di lebuh raya.
Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Kosmo! melaporkan, enam lebuh raya dan 25 laluan utama di sekitar ibu kota dan Selangor akan ditutup secara berperingkat sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dipetik berkata, penutupan laluan itu bermula 23 Mei hingga 28 Mei ini bagi memberi laluan kepada pergerakan pemimpin-pemimpin luar negara. – https://amiminerals.org/