Shevon-Soon Huat selangkah tunai impian

BADMINTON 4

SHEVON dan Soon Huat merupakan beregu campuran pertama Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka China sejak 2012.

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Shevon Lai menyuarakan rasa gembira selepas dia dan Goh Soon Huat berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka China.

Lebih manis, ia merupakan final pertama pasangan suami isteri itu dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 sejak mereka mula membentuk gandingan sejak hampir tujuh tahun lalu.

Shevon berkata, dia cukup teruja dan hampir menitiskan air mata kerana dapat merealisasikan hasrat yang sudah lama dipendam, iaitu untuk beraksi di pentas final pada kejohanan penuh berprestij itu.

“Satu perasaan yang cukup hebat untuk sekali lagi melayakkan diri ke perlawanan akhir pada saingan musim ini. Saya tidak pernah rasakan sesuatu seperti ini, melayakkan diri ke final ketiga dalam tempoh setahun.

“Pengalaman yang sukar dipercayai, terima kasih kepada pasangan saya, terutamanya ketika kami ketinggalan tadi (semalam). Walaupun ada sedikit masalah komunikasi, tetapi kami masih mampu hadapinya,”katanya kepada BWF.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou semalam, beregu No.12 dunia itu mengetepikan cabaran beregu tuan rumah, Cheng Xing-Zang Chi menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-18.

Menanti Shevon-Soon Huat di perlawanan akhir hari ini adalah satu lagi beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang menewaskan wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-15.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia muncul juara pada Terbuka China adalah menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang melakukannya ketika memenanginya pada edisi 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *