BEIJING – Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt dikritik netizen yang mendakwa beliau memakai pakaian buatan China ketika Washington dan Beijing terlibat dalam perang perdagangan, lapor portal berita MSNews semalam.
Seorang netizen China mendakwa dia bekerja di sebuah kilang di wilayah Zhejiang di mana pakaian Leavitt dihasilkan.
Katanya, Leavitt memakai pakaian buatan China ketika memberikan taklimat akhbar pada 31 Januari lalu di White House.
Menurut akhbar South China Morning Post (SCMP), gaun renda merah dan hitam Leavitt dikenal pasti sebagai rekaan pereka fesyen Malaysia, Han Chong.
Dakwaan netizen itu disiarkan semula di platform X oleh Konsul Jeneral China di Denpasar, Indonesia, Zhang Zhisheng.
“Renda cantik pada pakaian ini disahkan oleh pekerja sebuah syarikat China sebagai produk mereka,” kata Zhisheng.
Beliau kemudian berkongsi tangkap layar laman web runcit, Douyin yang menggambarkan pakaian itu jelas buatan China.
Netizen China mendapati pakaian itu dijual di laman e-dagang Farfetch pada harga AS$403 (RM1,800), 20 peratus lebih murah daripada harga asalnya. – AGENSI