Setiausaha Agung PBB keluarkan amaran SOS global 

SOS

GAMBAR fail 11 September 2001 menunjukkan negara Kiribati di Lautan Pasifik. – AFP 

NUKUALOFA, Tonga – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan isyarat kecemasan ‘SOS’ iklim global pada sidang kemuncak negara-negara pulau Pasifik semalam.

Gutteres berkata, beliau sangat bimbang berikutan kajian menunjukkan paras laut di rantau itu  meningkat lebih pantas berbanding purata global.

“Saya berada di Tonga untuk mengisytiharkan SOS global mengenai kenaikan paras laut. Kesan pencemaran dari seluruh dunia meletakkan syurga Pasifik ini dalam bahaya,” kata Gutteres.

Berpenduduk jarang dan dan hanya sedikit industri berat, negara-negara pulau Pasifik secara kolektif menyumbang kurang daripada 0.02 peratus daripada pelepasan asap global setiap tahun.

Bagaimanapun, rantau diliputi pulau gunung berapi dan terumbu karang  itu terancam dengan cepat oleh kenaikan paras lautan disebabkan perubahan iklim.

Laporan baharu oleh badan pemantauan iklim PBB menunjukkan paras laut meningkat sekitar 15 sentimeter di beberapa bahagian rantau Pasifik sejak 30 tahun lalu.

Purata global kenaikan paras laut ialah 9.4 sentimeter, demikian menurut laporan itu.

“Ia jelas menunjukkan kita kesuntukan masa untuk mengekang bencana,” kata pegawai kanan agensi berkenaan, Celeste Saulo.

Sesetengah tempat, terutamanya di Kiribati dan Kepulauan Cook, paras laut meningkat di bawah purata global.

Bagaimanapun, di tempat lain seperti ibu kota Samoa dan Fiji, air laut naik hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada paras global.

Di negara rendah, Tuvalu pula, tanah sangat terhad sehinggakan ramai kanak-kanak menggunakan kawasan lapangan terbang antarabangsa di negara berkenaan sebagai taman permainan mereka.

Saintis-saintis memberi amaran bahawa Tuvalu berisiko padam daripada peta dunia dalam tempoh 30 tahun lagi.

“Kami kehilangan keupayaan untuk membina semula negara ini, menahan satu lagi taufan atau bencana banjir,” kata Menteri Iklim Tuvalu, Maina Talia kepada AFP di luar sidang kemuncak itu. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *