Sembunyi pisau dalam telekung sebelum tikam suami

pensyarah tikam

Suspek dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. – Tribun Timur

JAKARTA – Seorang pensyarah institut pengajian tinggi swasta di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan ditahan kerana menikam suaminya selepas mendapat tahu mangsa menjalin hubungan sulit, lapor laman berita Merdeka semalam.

Suspek yang dikenali sebagai AT, 41, menikam mangsa yang sedang tidur di atas katil pada pukul 11 malam (waktu tempatan) semalam.

“Sejurus menerima laporan, saya bersama Ketua Siasatan Jenayah terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap dan membawa pelaku yang masih berada di dalam rumah,”kata Ketua Polis Sektor Manggala, Komisioner Semuel To’Longan.

Tambah Semuel, pasangan itu pada awalnya bertengkar selepas suspek mendapat tahu bahawa mangsa mempunyai kekasih gelap.

“Suspek kemudian pergi ke dapur dan mengambil pisau sebelum ia disimpan di dalam telekung yang dipakai.

“Dia masuk semula ke dalam bilik dan bermain telefon bimbit. Sejurus mangsa tertidur, dia terus menikam mangsa sebanyak dua kali,” jelas Semuel.

Tambahnya, mangsa sempat memeluk suspek untuk menghentikan perbuatannya, namun dia ditikam kali ketiga pada perut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital terdekat sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, suspek ditahan reman untuk menjalani siasatan lanjut. – AGENSI