Semakin ramai pasangan kahwin DIY

Geli kahwin21

GAMBAR fail satu pasangan yang baharu berkahwin bergambar di Gapyeong. – Foto AFP

SEOUL  –  Semakin ramai golongan muda di Korea Selatan mengambil keputusan mengatur majlis perkahwinan sendiri dan menolak pakej perkahwinan konvensional yang mahal, lapor akhbar The Korea Times.

Mereka mengadakan majlis sendiri berikutan kemelesetan ekonomi dan peningkatan kadar  inflasi.

Ramai pasangan yang bakal berkahwin mengatur segala-galanya daripada pakaian hinggalah kepada  aksesori dalam  ‘pendekatan buat sendiri’ (DIY) dan bukannya menyewa pakej mahal berharga puluhan juta won.

Menurut beberapa platform beli-belah di internet, carian untuk kata kunci dan jualan berkaitan perkahwinan telah melonjak.

“Trend perkahwinan DIY yang lebih memfokuskan kepada kesesuaian majlis perkahwinan (ketika ni) semakin popular. 

“Semakin ramai  bakal pengantin mengatur sendiri perkahwinan seperti memilih pakaian jenama mampu milik berbanding pakaian mahal untuk sesi bergambar,” kata seorang jurucakap  syarikat produk majlis perkahwinan online, 29CM.

“Kos majlis perkahwinan telah meningkat. Jadi, lebih ramai golongan muda mencari pakaian perkahwinan praktikal, murah dan dengan cita rasa mereka sendiri,” tambahnya. – AGENSI