Semakin ramai kanak-kanak AS mati akibat senjata api

063 1638762554 1

GAMBAR fail menunjukkan senjata api dijual secara terbuka di sebuah kedai Austin, Texas. – AFP

WASHINGTON – Satu laporan baharu mendapati, bilangan kanak-kanak yang mati akibat kecederaan dan keganasan senjata api meningkat di hampir semua negeri di Amerika Syarikat (AS) sejak 2018, lapor laman berita United Press International.

Laporan itu disediakan oleh sepasukan penyelidik diketuai felo penyelidik Institut Pencegahan Kecederaan Senjata Api Universiti Michigan, Eugenio Weigend Vargas.

Menurut penyelidik, data yang dikeluarkan awal tahun ini oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS mendapati bahawa kematian kanak-kanak dan remaja (berumur satu hingga 19 tahun) meningkat 18.8 peratus dari 2018 hingga 2022.

Ia merupakan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding pada 2013 hingga 2017.

“Sebahagian besar daripada peningkatan itu didorong oleh kenaikan 22.8 peratus dalam kematian yang berkaitan kecederaan, terutamanya senjata api dan dos berlebihan,” kata pasukan Vargas.

Pada 2022, kecederaan yang dikaitkan dengan senjata api mengatasi akibat kenderaan bermotor sekali gus menjadi punca utama kematian dalam kalangan rakyat AS yang berumur satu hingga 19 tahun.

Kanak-kanak lelaki pula hampir dua kali lebih berisiko mati berbanding perempuan, dengan masing-masing mencatatkan 35.2 berbanding 19.3 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Bagi kematian berkaitan senjata api, 85.6 peratus daripada mangsa ialah kanak-kanak lelaki. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *