Seluruh kampung lenyap daripada peta

kampung tertimbus

Bumbung beberapa rumah dapat dilihat selepas kampung Blatten musnah dalam tanah runtuh. – EPA

BERN – Sebuah perkampungan di Switzerland lenyap selepas  tertimbus di bawah tanah runtuh disebabkan runtuhan salji besar-besaran dari kawasan pergunungan berdekatan, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Bongkah ais besar dan serpihan batu bergerak laju ke arah perkampungan Blatten dan menimbus sepenuhnya kawasan itu.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan kerana 300 penduduk kampung itu berpindah seminggu lebih awal selepas pakar-pakar memberi amaran bahaya yang akan berlaku.

Rakaman dron badan penyiaran  Switzerland, SRF menunjukkan seluruh kampung itu tertimbus di bawah  lumpur dan tanah dengan sungai mengalir melaluinya.

“Kampung ini lenyap selepas ditimbus sebahagian besar glasier Birch yang runtuh kira-kira pukul 3.30 petang (waktu tempatan),” kata seorang petugas kecemasan.

Penduduk Blatten tidak akan dapat pulang ke rumah mereka kerana seluruh kampung telah musnah.

Mereka bagaimanapun dijanjikan menerima pembiayaan daripada kerajaan Switzerland untuk penempatan di tempat lain. – AGENSI