NEW DELHI – Peranti internet satelit Starlink milik bilionair paling kaya dunia, Elon Musk digunakan oleh penyeludup dadah untuk belayar dan tiba di perairan India, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Kejadian itu mendorong polis menghubungi Musk untuk mendapatkan maklumat selepas unit Pengawal Pantai menangkap enam warga Myanmar dan menemui peranti Starlink dalam bot yang mereka naiki dekat kepulauan Andaman dan Nicobar baru-baru ini.
Tangkapan dadah itu adalah yang terbesar oleh Pengawal Pantai India. Mereka merampas 6,000 kilogram methamphetamine daripada bot itu yang dianggarkan bernilai AS$4.25 bilion (RM19 bilion).
Starlink menyediakan liputan jalur lebar sangat pantas tetapi masih belum mendapat kebenaran untuk beroperasi di India.
Ketua Polis Kepulauan Andaman, Hargobinder S Dhaliwal berkata, penyeludup-penyeludup dadah menggunakan Starlink sejak pelayaran mereka dari Myanmar.
“Mereka mengendalikan (telefon) secara langsung dengan satelit dan mewujudkan hotspot Wi-Fi,”tambahnya.
Polis Andaman telah menulis surat kepada Starlink meminta butiran tentang peranti itu termasuk siapa yang membelinya, bila dan bagaimana ia digunakan. – AGENSI