Sekolah haramkan penggunaan cermin dalam tandas

cermin viral

Gambar menunjukkan Sekolah Komprehensif Gereja William Farr England di Welton, Lincolnshire. – Google

LONDON – Sebuah sekolah di England mengharamkan penggunaan cermin di dalam tandas selepas pelajar didapati sering menghabiskan masa terlalu lama untuk bersolek, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Langkah itu dibuat di Sekolah Komprehensif Gereja William Farr England di Welton, Lincolnshire.

Guru besar sekolah tersebut, Grand Edgar berkata, pelajar sering berkumpul di dalam tandas untuk melihat wajah mereka di cermin, menyebabkan mereka lewat menghadiri kelas dan menjadikan pelajar lain berasa tidak selesa. 

“Cermin menjadi punca terhadap beberapa isu yang menjejaskan ketepatan masa. 

“Pelajar yang memerlukan cermin untuk tujuan perubatan boleh dapatkannya di kaunter yang ditetapkan,” tambah Edgar. 

Ramai ibu bapa menyifatkan pengharaman itu sebagai tindakan mengarut, melampau dan pelik. 

Seorang ibu bernama Kelly berkata, dia bimbang keputusan itu akan mencetuskan masalah kepada anak perempuannya yang memakai kanta lekap dan pendakap gigi. 

“Anak saya memerlukan cermin untuk mengeluarkan kanta lekap daripada matanya,” tambah Kelly. – AGENSI