‘Scammer’ guna nama bank terbesar buka cawangan palsu

bank palsu

Siasatan mendapati cawangan State Bank of India yang baru dibuka adalah palsu dan dikendalikan oleh ‘scammers’. – Oddity Central

NEW DELHI – Penduduk di Chhapora, negeri Chhattisgarh terkejut apabila mendapati bahawa bank yang baru dibuka di kawasan mereka adalah palsu dan dikendalikan oleh penipu atau ‘scammer’, lapor laman berita Oddity Central semalam. 

Bank palsu itu menggunakan nama bank terbesar India, State Bank of India (SBI), menyebabkan individu yang mengalami masalah kewangan berebut-rebut untuk bekerja di situ.

Pintu Dhruve, 25, berkata, dia adalah salah seorang daripada enam mangsa yang mendapat pekerjaan sebagai juruwang di cawangan tersebut. 

“Saya sangat memerlukan pekerjaan. Saya diminta membayar 580,000 rupee (RM29,800) untuk bekerja di sana. Saya segera membuat pembayaran dengan meminjam wang daripada beberapa rakan,” kata Pintu. 

Menurut Pintu, logo SBI di pintu masuk, ruang kerja berukuran 93 meter persegi, perabot serta kaunter baharu membuatkan dia yakin bahawa bank itu adalah sah. 

“Selama 10 hari berturut-turut, saya dan lima rakan lain datang bekerja hanya untuk ‘melihat masa berlalu’. 

“Pengurus cawangan biasanya masuk sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) dan pulang pada tengah hari. Namun suatu hari, dia tidak datang bekerja dan kami tidak menerima sebarang maklumat.

“Pada suatu hari, polis datang bersama kakitangan sebenar SBI dan memberitahu bahawa tempat kerja kami adalah palsu,” tambah Pintu. 

Seorang jurucakap polis, Rajesh Patel berkata, siasatan mendapati bahawa cawangan itu adalah palsu, manakala pekerja dilantik menggunakan dokumen palsu. 

“Mereka yang membayar untuk mendapatkan pekerjaan di sana kerugian sebanyak 1.2 juta rupee (RM62,000) secara keseluruhan,” tambahnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *