‘Scammer’ buat pembedahan plastik elak ‘kantoi’

scammer viral

Gambar fail menunjukkan suspek ditahan (kiri) dan wang tunai yang ditemui di tempat persembunyiannya. – Agensi Polis Metropolitan Seoul

SEOUL – Polis Korea Selatan memberkas ketua sebuah skim penipuan mata wang kripto yang menipu pelabur sebanyak 16 bilion won (RM52.8 juta), meskipun dia melakukan pembedahan plastik untuk mengelak daripada ditangkap, lapor saluran berita The Korea Herald semalam. 

Menurut Agensi Polis Metropolitan Seoul, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada awal bulan ini kerana memperdaya 158 mangsa antara November 2021 hingga Jun 2022. 

“Dia menjanjikan pulangan bulanan sebanyak 18 peratus bagi pelaburan dalam perniagaan perlombongan mata wang kripto. 

“Mangsa-mangsa kerugian wang berjumlah antara 1.2 juta won (RM3,960) hingga 250 juta won (RM825,000),” kata polis. 

Suspek juga melarikan diri selama 10 bulan selepas gagal menghadirkan diri ke perbicaraan tahanan praperbicaannya, yang ditetapkan pada September lalu. 

Susulan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan polis mula menjejakinya. 

Pihak berkuasa berkata, suspek berjaya mengelak daripada penyiasat selepas mengubah penampilannya melalui pembedahan plastik pada mata, hidung dan bentuk muka yang menelan kos kira-kira 21 juta won (RM69,300), selain memakai rambut palsu. 

Suspek bagaimanapun ditangkap di sebuah apartmen di Guri, wilayah Gyeonggi, berdasarkan rakaman pengawasan, rekod telefon dan sejarah carian internet. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *