\’Saya menyesal, bertaubat komen jelik kepada anak Dr. Amalina\’

Ahmad Nasir

Ahmad Nasir ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas prosiding kes, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Padah membuat komen lucah mengenai bayi perempuan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr. Amalina Che Bakri, seorang pemungut kelapa sawit didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar jumlah denda berkenaan.

Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad menasihati OKS supaya lebih berwaspada ketika membuat sebarang komen di media sosial, kerana setiap perbuatan yang dilakukan pasti membawa akibat.

“Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja. Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),”kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 10.29 malam pada 15 Disember 2022.

Pautan itu kemudian telah dilihat di Menara MCMC, Cyberjaya, di sini pukul 11.52 pagi, pada 3 Januari 2023 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar OKS tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

“OKS seharusnya diberi pengajaran dan peringatan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial sebagai satu platform untuk menyatakan perkara lucah.

“Jika dilihat daripada fakta kes yang dikemukakan, komen itu dibuat terhadap seorang bayi yang tidak boleh berkata-kata tetapi ibu bayi itu (Dr. Amalina) telah membuat aduan kepada MCMC,”katanya.

Bagaimanapun OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan tidak berkemampuan dan sedang menanggung seorang anak yang masih belajar.

“Saya mengaku bersalah dan saya merayu hukuman saya diringankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap. Ini adalah kesalahan pertama, saya menyesal, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang,”kata lelaki itu.

Sebelum ini Dr.Amalina memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan lucah individu tidak bertanggungjawab berkaitan isu khatan. – https://amiminerals.org/