PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan anggota pentadbiran kerajaan termasuk barisan Kabinet tidak dibenarkan untuk menjadi presiden dalam mana-mana persatuan sukan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketetapan itu dibuat berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun 2007.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ketetapan itu diputuskan hari ini dan ia diteruskan dengan amalan tidak terlibat (menjadi presiden persatuan) dan tidak ada pengecualian mengenai perkara itu.
“Serentak keputusan itu, saya sama seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad umumkan untuk tidak bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
“Berkuat kuasa serta merta saya menarik diri dari bertanding sebagai calon presiden KLFA,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, beliau telah berhubung dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi mendapatkan sedikit nasihat dan panduan.
Fahmi berkata, sebarang urusan berkaitan pemilihan presiden KLFA, ia boleh dirujuk kepada persatuan itu kelak. – Iteenews