SUNGAI PETANI – Seorang suri rumah buntu memikirkan masa depan termasuk empat anaknya selepas suami yang merupakan ketua keluarga kini terlantar akibat serangan jantung dan strok pada September lalu.
Nur Adila Wa Chek, 43, berkata, sejak suaminya, Mohd. Shah Mat, 44, jatuh sakit, lelaki itu tidak dapat menjual burger di pekan Sik bagi menyara mereka sekeluarga.
“Suami saya mula tidak sedarkan diri pada 6 September lalu akibat serangan jantung dan strok sehingga menyebabkan pendarahan otak.
“Dia mendapatkan rawatan di Hospital Sik sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Nur Adila, wang saku sekolah anak-anak dan perbelanjaan keluarga kini sudah ‘kering’.
“Disebabkan ketiadaan wang, saya juga tidak dapat menjelaskan wang pinjaman mingguan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Malah, saya dan anak-anak juga pernah mencatu bahan makanan bagi mengelakkan kami kelaparan di kemudian hari,” kata wanita itu.
Empat anak pasangan itu termasuk dua perempuan berusia 3, 11, 15 dan 19 tahun.
Wanita itu juga mengakui dia terpaksa meminjam dengan saudara mara terdekat.
“Disebabkan mereka juga susah, ada kalanya saya malu untuk pinjam lagi,” katanya yang terpaksa menunggang motosikal berulang-alik dari Kampung Banggol Selayang, Sik ke HSAH, Sungai Petani kerana tidak mempunyai kereta.
Nur Adila mengakui wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 yang diterima tidak mencukupi untuk mereka enam beranak.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat bernombor 2243972040 atas nama Nur Adila atau menghubungi wanita itu di talian 011-10745017. -https://amiminerals.org/