WASHINGTON – Hari di Bumi akan bertambah panjang disebabkan Bulan beransur-ansur semakin jauh dari planet yang menjadi tempat tinggal manusia tersebut, lapor portal berita MailOnline semalam.
Saintis-saintis mendapati apabila Bulan berada lebih jauh, ia akan mengubah tarikan gravitinya terhadap Bumi.
Keadaan itu menyebabkan putaran Bumi semakin perlahan, mengakibatkan hari menjadi lebih panjang.
Mereka berkata, masa satu hari di Bumi akhirnya boleh menjadi 25 jam, tetapi menyatakan bahawa ia akan mengambil masa kira-kira 200 juta tahun.
“Apabila Bulan bergerak semakin jauh, Bumi adalah seperti peluncur figura yang berputar perlahan,” jelas ahli geosains Amerika Syarikat, Stephen Meyers.
Bulan terletak kira-kira 383,023 kilometer dari Bumi dan mengambil masa sekitar 27.3 hari untuk melengkapkan pusingan orbit mengelilingi planet tempat tinggal manusia tersebut.
Namun, kajian terdahulu mendapati bahawa Bulan bergerak lebih jauh pada jarak kira-kira 3.81 sentimeter setahun yang bermaksud ia akan mengambil masa lebih lama untuk mengelilingi Bumi. – AGENSI