Saintis kesan ‘slumber party’ jerung betina

Jerung tidur

Ribuan ikan jerung betina Port Jackson tidur di dasar lautan selatan Australia. – Foto NESP-IMAS

SYDNEY  – Beribu-ribu ikan jerung dikesan tidur di dasar lautan Australia dalam fenomena  yang mengejutkan ramai saintis kerana kesemuanya adalah jerung betina, lapor portal berita The Sun semalam.

Mereka tidak dapat menjelaskan mengapa tiada ikan jerung jantan dalam kumpulan tersebut.

Ikan-ikan itu dilihat sejak enam tahun lalu semasa tinjauan pertama pasukan penyelidik  Taman Marin Beagle di Port Jackson,  luar pantai Victoria.

Spesies  itu sering ditemui di persekitaran berbatu atau di dasar laut merentasi selatan Australia.

Ikan jerung berkenaan  boleh membesar sehingga panjang 1.65 meter. Ia tidur semasa siang hari tetapi aktif memburu sotong dan spesies krustasea pada waktu malam.

Perhimpunan’  jerung di  Port Jackson itu ditemui dengan menggunakan robot yang diturunkan daripada kapal penyelidikan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Australia Selatan (SARDI).

Dr. Jacquomo Monk daripada  Institut Kajian Marin dan Antartika Universiti Tasmania (IMAS) berkata, ribuan jerung itu kelihatan seperti hamparan permaidani di dasar lautan. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *