Sabalenka \’sapu\’ Grand Slam gelanggang keras

TENIS

SABALENKA meraih gelaran Grand Slam kedua musim ini selepas menjuarai Terbuka AS selepas mengungguli Terbuka Australia Januari lalu. – AFP

NEW YORK – Bintang tenis Belarus, Aryna Sabalenka akhirnya menjulang trofi kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama dalam kariernya, selepas menundukkan wakil tuan rumah, Jessica Pegula dalam dua set sengit 7-5, 7-5.

Kemenangan itu melengkapkan tahun gemilang buat Sabalenka selepas sebelum ini memenangi Terbuka Australia, sekaligus menambah koleksi gelaran Grand Slam miliknya.

Tahun lalu, Sabalenka berdepan kekecewaan apabila tewas di final kepada Coco Gauff, namun kali ini dia mempamerkan aksi cemerlang sekali gus menjadi wanita pertama sejak Angelique Kerber pada 2016 yang berjaya menyapu bersih kejuaraan Grand Slam di gelanggang keras dalam satu musim.

“Saya kehilangan kata-kata. Banyak kali saya hampir berjaya dan ini selalu menjadi impian saya. Kepada Pegula anda telah menunjukkan bahawa anda akan mendapat satu gelaran, mungkin lebih banyak lagi selepas ini.

“Saya sangat bangga dengan diri sendiri. Semuanya sangat berharga, tanpa anda (pasukannya) saya tidak akan menjadi diri saya sekarang. Seperti yang saya selalu katakan, tanpa saya, kamu juga tidak wujud, jadi terima kasih!,”katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu kini merekodkan 12 kemenangan berturut-turut dan memperbaiki rekod pertemuannya dengan Pegula kepada 6-2.

Dalam aksi final di Stadium Arthur Ashe, Pegula tidak mudah menyerah, bangkit daripada ketinggalan 0-3 dalam set kedua untuk mendahului 5-3 sebelum Sabalenka kembali menguasai permainan.

Biarpun Pegula gagal merangkul gelaran, dia masih mencatatkan pencapaian terbaik di Terbuka AS dan bakal melonjak dari ranking No. 6 ke No. 3 dunia menyamai kedudukan tertinggi dalam kariernya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *