Rusuhan UK: Lelaki Pakistan didakwa sebar berita palsu ditangkap

Pakistan komputet

Farhan (berbaju putih, kanan) berbual dengan dua wartawan di Pakistan. – Foto ITV News

KARACHI – Seorang pembangun web ditangkap di Lahore, Pakistan kerana didakwa menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan rusuhan ganas di United Kingdom (UK) baru-baru ini, lapor portal berita MailOnline.

Farhan Asif didakwa bekerja untuk laman berita Channel3Now yang menerbitkan artikel palsu mengenai identiti lelaki yang menikam tiga kanak-kanak perempuan di Southport pada 29 Julai lalu, lapor saluran berita UK, ITV News.

Dalam artikel tersebut, suspek kejadian tikaman itu didakwa tiba di UK dengan menaiki bot dan dia berada dalam senarai individu diawasi oleh agensi perisikan UK, MI6. 

Dia juga didakwa merupakan seorang migran beragama Islam.

Pihak berkuasa Pakistan mengesahkan bahawa Farhan telah ditangkap. Seorang pegawai kanan polis tempatan pula memberitahu akhbar Telegraph bahawa dia ditahan kerana menyebarkan berita palsu yang mengakibatkan rusuhan ganas.

Dia telah diserahkan kepada Agensi Siasatan Persekutuan.

Bagaimanapun, Farhan menafikan bahawa dia menulis artikel mengenai suspek tikaman itu serta menambah, empat orang daripada pasukan pencari maklumat telah dipecat kerana artikel tersebut.

Akhbar Pakistan, Dawn melaporkan, siasatan pihaknya terhadap berita palsu itu menunjukkan bahawa Farhan bukan sumber maklumat itu, sebaliknya dia hanya menyiarkannya semula selepas mengambilnya dari laman sosial. 

Dalam insiden itu, tiga kanak-kanak maut, manakala 10 yang lain cedera parah semasa serangan di sebuah kelas tarian di Pusat Komuniti Hart Space, Southport.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menurut polis dilahirkan di UK, didakwa dengan tiga tuduhan membunuh, 10 dakwaan cubaan membunuh dan satu pertuduhan memiliki pisau.

Rusuhan terburuk di UK dalam tempoh lebih sedekad itu menyebabkan kira-kira 1,100 orang ditangkap. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *