Russia tembak jatuh 10 dron Ukraine sasarkan Moscow

dron moscow 2

Gambar fail bertarikh 23 Ogos 2023 menunjukkan pegawai memeriksa kerosakan bangunan Pusat Perniagaan Antarabangsa Moscow berikutan serangan dron Ukraine. – AFP

MOSCOW – Sistem pertahanan udara Russia menembak jatuh 10 dron Ukraine yang menyasarkan bandar raya Moscow, kata datuk bandar tersebut awal hari ini.

“Pertahanan berlapis Moscow terhadap kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) musuh membolehkan kami berjaya menangkis semua serangan,” kata Datuk Bandar, Sergei Sobyanin dalam catatannya di aplikasi Telegram.

“Ini adalah salah satu percubaan terbesar yang pernah dilakukan untuk menyerang Moscow dengan dron,” ujarnya lagi sambil menambah, pertahanan udara Russia menembak jatuh 10 dron.

Sobyanin berkata dalam catatan sebelum itu bahawa tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Serangan dron di Moscow jarang berlaku, menakala Russia berkata pada Mei lalu bahawa ia menembak jatuh dron di luar ibu negara. 

Ia memaksa sekatan dikenakan di dua lapangan terbang utama di bandar raya itu selama kurang satu jam.

Pada Ahad lalu, dron tentera Ukraine menyerang kemudahan penyimpanan minyak di wilayah Rostov di selatan Russia, sehingga mencetuskan kebakaran besar, kata gabenor tempatan.

Kebakaran di bandar Proletarsk pula masih marak setakat semalam, dengan kira-kira 500 anggota bomba Russia berusaha memadamkannya.

Awal bulan ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuji tenteranya kerana menyerang kemudahan minyak di Russia, dengan menyifatkan serangan itu akan membantu membawa ‘pengakhiran yang adil’ kepada konflik tersebut.

Serangan dron di Moscow berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke wilayah milik Russia, Kursk. Kiev mendakwa bahawa tenteranya kini menguasai lebih daripada 80 penempatan. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *