Russia lancar lebih 1,500 serangan ke Ukraine

rusia serang ukraine

SEBUAH bangunan musnah akibat serangan tentera Russia di Odesa kelmarin. – AFP

MOSCOW – Russia melancarkan hampir 1,500 serangan sejak petang kelmarin ke atas kira-kira separuh daripada wilayah Ukraine, ketika tentera kedua-dua negara saling berbalas bedilan, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, berpuluh-puluh penduduk mengalami kecederaan akibat siri serangan tersebut.

Gabenor Kharkiv, Oleh Synehubov berkata, 23 orang cedera dalam serangan peluru berpandu di bandar Kharkiv, di mana operasi menyelamat kemudian dijalankan.

Peluru berpandu S-400 digunakan dalam serangan itu, katanya.

Jabatan kecemasan Odesa pula berkata, seramai 10 orang cedera dalam serangan peluru berpandu yang merosakkan bangunan kediaman, sekolah dan dewan sukan universiti.

Sementara itu, pegawai wilayah memberitahu, tiga lagi individu cedera dalam serangan di wilayah Kherson dan masing-masing seorang di wilayah Zaporizhzhya termasuk Chernihiv.

Namun, tentera Ukraine mendedahkan bahawa ia telah menyerang depoh minyak Kaluganefteprodukt di wilayah Kaluga, tenggara Moscow dengan menggunakan dron.

Sumber memberitahu media Ukraine bahawa serangan itu menyebabkan beberapa siri letupan dan kebakaran tercetus.

Gabenor Kaluga di Russia, Vladislav Shapsha berkata, serpihan dron yang ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara menyebabkan kebakaran di wilayah perusahaan perindustrian itu. – AGENSI