Russia, Korea Utara sedia serang Kursk

COVER kursk2 scaled

Sebuah kereta kebal tentera Russia yang musnah terbiar di luar bandar Sudzha, wilayah Kursk pada 16 Ogos lalu. – AFP

MOSCOW – Russia mengumpulkan berpuluh-puluh ribu bala tentera termasuk askar Korea Utara untuk melakukan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Ukraine di wilayah Kursk yang dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Perkara itu didedahkan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), manakala akhbar New York Times melaporkan, kira-kira 50,000 tentera Moscow dan Pyongyang bersedia untuk mengambil bahagian dalam serangan tersebut.

Pegawai-pegawai AS dan Ukraine berkata, 10,000 daripada jumlah itu terdiri daripada askar Korea Utara, lapor akhbar The Sun UK.

Askar-askar itu dikatakan memakai pakaian seragam tentera Russia dan telah dilatih oleh Moscow dalam taktik infantri, tembakan artileri, dan pembersihan parit.

Ukraine menyerang wilayah Kursk pada musim panas lalu dalam serangan yang mengejutkan Russia serta pencerobohan pertama ke atas negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Seorang komander Ukraine memberitahu CNN kelmarin bahawa tentera Korea Utara mengambil bahagian dalam operasi pertempuran langsung di Kursk, operasi pertahanan di wilayah jiran, Belgorod serta wilayah-wilayah Ukraine yang diduduki Russia.

“Kebanyakan tugasan melibatkan pertempuran peringkat kedua, manakala di wilayah Kursk, ia adalah operasi tempur secara langsung,” katanya.

Tambah pegawai tersebut, pasukan itu akan terlibat secara langsung dalam operasi pertempuran jangka pendek di wilayah Ukraine. 

“Mereka berkemungkinan besar akan bertempur di wilayah yang diduduki di Ukraine juga,” jelasnya.

Tambah pegawai tersebut, tentera Korea Utara adalah sumber penting untuk perang Russia ke atas Ukraine, malah ia akan membolehkan lebih ramai tentera Moscow melakukan serangan di tempat-tempat lain.

Laporan yang menyebut bahawa Korea Utara menghantar tentera ke Russia mula bertebaran bulan lalu walaupun kedua-dua negara menolak dakwaan tersebut pada masa itu. 

Moscow dan Pyongyang menjalin hubungan yang semakin erat sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022. 

Korea Utara mempunyai salah satu bala tentera terbesar di dunia dengan 1.2 juta anggota tetapi sebahagian besarnya kurang berpengalaman untuk bertempur.

Dalam perkembangan berkaitan, Russia dan Ukraine melancarkan serangan dron terbesar ke atas satu sama lain kelmarin walaupun Presiden AS yang seterusnya, Donald Trump menghubungi Presiden Vladimir Putin minggu lalu bagi meminta Moscow tidak meningkatkan konflik.

Russia melancarkan 145 dron ke arah Ukraine semalaman pada Sabtu hingga Ahad, melebihi mana-mana serangan semasa konflik itu.

“Malam tadi (kelmarin), Russia melancarkan 145 dron Shahed dan dron serangan lain terhadap Ukraine,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di media sosial.

Dalam masa sama, tentera Russia turut menembak jatuh 34 dron Ukraine yang menyasarkan Moscow kelmarin dalam percubaan serangan terbesar ke atas bandar ibu negara itu sejak permulaan perang pada 2022.

Satu serangan udara tentera Russia yang lain kemudian membunuh sekurang-kurangnya lima orang di selatan Ukraine, kata pihak berkuasa semalam, sehari selepas Moscow dan Kyiv saling berbalas serangan dron. – AFP/AGENSI