Runtuhan akibat hujan lebat punca dua polis pemusnah bom cedera parah

60a21a37 44e0 41ab 8527 c42cb1032fc1

KEADAAN lubang yang digali untuk pemusnahan bom sebelum runtuh dan menyebabkan dua anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) cedera dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

KLUANG – Struktur tanah pada lubang tidak kuat dipercayai menjadi punca berlakunya runtuhan sehingga menyebabkan dua anggota unit pemusnah bom parah ketika melakukan kerja-kerja memusnahkan bahan letupan di sebuah tapak perumahan di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika operasi memusnahkan sebutir bom jenis Aerial 500 lbs dipercayai digunakan sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 1952 berlaku hujan.

“Balai Polis Renggam menerima laporan penemuan sebutir bom jenis Aerial 500 lbs dipercayai digunakan sewaktu perang dunia ke dua pada tahun 1952 kira-kira pukul 8.50 pagi oleh penduduk taman.

“Susulan daripada itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah dikejarkan ke lokasi penemuan.

“Ketika operasi dilakukan, cuaca dalam keadaan hujan dan berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi pemusnahan bom sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit tertimbus dan cedera,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang semalam, Koperal Abdul Halim, 39, dilaporkan patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.

Manakala rakan setugasnya, Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang peha sebelah kiri dan patah tulang rusuk sebelah kiri.

Bahrin berkata, kedua-dua anggota terbabit kini sedang mendapatkan rawatan diwad biasa selepas dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan dilaporkan stabil.-Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *