LONDON – Sebuah rumah didakwa berhantu di Britain diiklankan untuk dijual sekali lagi pada harga £250,000 (RM1.4 juta), lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Bekas pemiliknya, Vanessa Mitchell berkata, ketika mula berpindah ke rumah itu pada 2005 dan menjualnya pada 2020, dia diganggu secara fizikal dan mental.
Rumah dikenali sebagai The Cage yang terletak di kampung St. Osyth, Essex itu dikatakan menjadi penjara untuk ahli sihir pada zaman pertengahan.
Seorang ahli sihir terkenal ketika itu, Ursula Kemp, telah ditempatkan di situ sebelum dijatuhi hukuman mati pada tahun 1582.
Menurut Mitchell, dia pernah melihat kesan tompokan darah tiba-tiba muncul di dinding, selain pernah ditolak ketika hamil, menyebabkan wanita itu terpaksa menjual hartanah tersebut ekoran keadaan semakin buruk.
“Ia menghantui dalam cara yang membuatkan anda menjadi gila atau memaksa anda lari meninggalkan rumah itu. Gangguan tidak berhenti malah semakin teruk,” katanya ketika ditemu bual dalam dokumentari di saluran televisyen Channel 4.
Kini, The Cage dijual sekali lagi selepas menjalani kerja-kerja pengubahsuaian oleh pemilik lain.
Ia mempunyai dua bilik tidur, sebuah bilik mandi dan dua tandas, ruang tamu, ruang makan serta dapur. – AGENSI