LONDON – Beberapa rumah bergegar di sekitar Bury dan utara Manchester malam kelmarin selepas pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) terbang di wilayah itu, lapor laman berita Manchester Evening News kelmarin.
Bunyi ledakan pesawat Bell Boeing V-22 Osprey Tiltrotor boleh didengari di seluruh bahagian rantau tersebut termasuk di Prestwich, Middleton dan Whitefield pada kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan). Ia sekali lagi berbunyi pada pukul 10 malam (waktu tempatan).
Satu catatan yang dikongsi dalam kumpulan media sosial menulis: “Ada sesiapa tahu mengapa ia (pesawat) terbang? Ia baru sahaja terbang di atas rumah kami pada ketinggian kira-kira 243 meter dan menggegarkan rumah.”
Seorang lagi pengguna media sosial menulis: “Baru sahaja melihat mereka (pesawat) terbang di atas rumah saya di Middleton, pemandangan yang bagus. Sangat (bunyi) kuat.”
Menurut laman web Tentera Udara AS, pesawat Tiltrotor digunakan untuk menjalankan misi penyusupan, penyingkiran dan misi menghantar semula bekalan untuk pasukan operasi khas.
Laluan penerbangan menunjukkan pesawat itu kemudian mendarat di Manchester. – AGENSI