Ringgit capai paras 4.539 berbanding dolar AS

ringgit scaled

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ringgit terus merekodkan pengukuhan untuk mencapai paras 4.5390 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pukul 12 tengahari tadi, menurut laman web Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor utama pengukuhan ringgit adalah situasi terkini di AS, yang mana jangkaan pemotongan kadar di sana semakin tinggi dan beroleh momentum.

Jelasnya, ia susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 30 dan 31 Julai lalu, yang meskipun mengekalkan kadar faedah pada 5.5 peratus, kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan momentum ekonomi AS adalah agak lemah.

“Terdapat data-data ekonomi yang menunjukkan akan ada pengurangan kadar faedah di AS, antaranya Indeks Pembuatan ISM (turut dikenali sebagai Indeks Pembelian Pengurus, PMI) yang turun secara signifikan kepada 46.8 mata pada Julai lalu, jauh lebih rendah berbanding jangkaan ramai penganalisis.

“Selain itu, tuntutan insurans disebabkan pengangguran turut meningkat di AS, yang menunjukkan pasaran buruh di sana semakin lemah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizam
Dr. Mohd. Afzanizam

Mohd. Afzanizam menambah, AS dijangka bakal memotong kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini pada mesyuarat FOMC seterusnya pada bulan September dan Disember, kedua-duanya sebanyak 25 mata asas, seterusnya menurunkan kadar faedahnya kepada lima peratus pada hujung tahun ini.

Sekiranya ini berlaku, ia bakal mengurangkan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS kepada dua peratus, yang dijangka membantu pengukuhan ringgit menuju ke hadapan.

“Keadaan ini diperkuatkan dengan asas ekonomi Malaysia yang teguh, dengan reformasi ekonomi yang sedang berlangsung bakal mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia untuk jangka sederhana dan panjang.

“Saya melihat ringgit berpotensi untuk terus mengukuh dan mencapai paras 4.50 pada hujung tahun,” ujarnya.

Sementara itu, laporan Standard Chartered Malaysia yang dikeluarkan semalam mengekalkan pandangannya bahawa ringgit akan terus memperlihatkan prestasi baik, sebagai satu-satunya mata wang Asia yang meningkat berbanding dolar AS tahun ini.

“Pada masa sama, keputusan pilihan raya AS akan datang mungkin membawa sedikit risiko kepada ringgit, terutamanya melibatkan sebarang tindakan pengenaan tarif ke atas China,” katanya. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *