JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang penunggang teksi motosikal online (ojol) ‘menangkap’ suaminya membonceng wanita lain di sebuah stesen minyak, lapor laman berita RBTV kelmarin.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, rider ojol wanita itu dilihat memberhentikan motosikal yang dinaiki oleh suaminya bersama wanita lain.
Dengan nada suara yang tinggi, penunggang ojol itu meminta wanita berkenaan turun dari kenderaan tersebut.
“Turun, turun!” katanya dengan penuh kemarahan.
Dalam masa sama, gadis dipercayai teman wanita suaminya turun daripada motosikal sambil si isteri cuba ditenangkan oleh suaminya.
Tidak dinyatakan tindakan lanjut rider tersebut, namun video itu menjadi tular dengan ramai yang memberikan pelbagai komen.
“Sudahlah miskin, masih buat hal. Langsung tidak bersyukur isteri membantu mencari wang dengan bekerja sebagai ojol,” kata seorang netizen.