Rider maut motosikal rempuh Kenari keluar simpang

WhatsApp Image 2025 05 22 at 11.04.18 8269e7c4

KEADAAN motosikal Yamaha 135LC yang terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perodua Kenari di Simpang Empat Parit Patah, Pontian lewat petang semalam.

PONTIAN – Seorang penghantar makanan terbunuh apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Simpang Empat Parit Patah disini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Taqueuddin Ibrahim Arjunan, 28, beralamat di rumah pangsa Jalan Parit Masjid di sini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Manakala pemandu kereta Perodua Kenari yang berusia 57 tahun mengalami kecederaan dibahagian muka dan dada yang kini dirawat di Hospital Pontian,” katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, mengikut fakta kes, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa Taqueuddin dalam perjalanan dari arah Parit Selangor ke bandar Pontian.

Jelasnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Muhammad Taqueuddin telah melanggar kereta Perodua Kenari yang tiba-tiba keluar dari simpang untuk ke bandar Pontian.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-https://amiminerals.org/