Richardson tukar kerakyatan lepas menang pingat Olimpik

BASIKAL

RICHARDSON yang merupakan pelumba kelahiran UK membuat kejutan melepaskan kerakyatan Australia untuk kembali ke negara kelahirannya. – AFP

LONDON – Skuad berbasikal trek Australia menerima tamparan hebat apabila pelumba sensasinya, Matthew Richardson membuat keputusan mengejut dengan menukar status warganegara untuk menyertai pasukan Great Britain.

Pelumba berusia 25 tahun tersebut yang lahir di Maidstone, United Kingdom itu tampil cemerlang di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila meraih dua pingat perak dalam acara keirin dan pecut individu lelaki.

Lebih manis, Richardson turut membantu Australia meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan bersama Matt Glaetzer dan Leigh Hoffman.

Pengurus besar prestasi AusCycling, Jesse Korf mengakui keputusan yang dibuat Richardson sangat mengecewakan kerana pihaknya telah mengatur program terbaik hingga membawa kepada kejayaan besar.

“Pengumuman Richardson sangat mengejut buat kami. Kami memahami bahawa keinginan untuk mewakili negara kelahiran seseorang boleh membawa emosi yang mendalam. Benar keputusan ini sangat mengecewakan,” kata Korf.

Sementara itu, Richardson mengakui keputusan yang dibuat adalah demi masa depan kariernya dan mengucapkan terima kasih kepada Pasukan AusCycling.

“Ini adalah keputusan peribadi saya dan saya mempertimbangkan keputusan ini dengan teliti terutama mengenai kerjaya, minat dan masa depan saya ke tahap yang lebih tinggi

“Ini bukan keputusan yang dibuat secara terburu-buru. Saya sangat menghormati Australia dan Pasukan AusCycling, dan negara itu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” kata Richardson. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *